Industri arnab adalah sangat baru di Malaysia . Industri ini dilihat semakin berkembang hasil dorongan dan galakan yang diberikan oleh kerajaan kearah pembangunan industri ini. Di antara penternakan yang ada, penternakan arnab adalah satu bidang yang masih luas untuk diterokai. Hal ini kerana perusahaan ini mempunyai potensi yang besar jika diusahakan. Potensi utama industri arnab dalam mewujudkan suatu agro bisnes dapat dilihat dari kemampuannya untuk berkembang biak samada diusahakan secara kecil-kecilan mahupun secara komersial. . Biologi arnab seperti bersaiz kecil, prolifik dan cepat berkembang biak, diet pracampuran, dan dapat menyesuaikan diri dengan baik kepada pelbagai persekitaran menjadi kelebihan kepada haiwan ini.
Kadar pembiakan haiwan ruminan seperti kambing, lembu, kerbau yang perlahan dan ancaman dari virus Avian Influenza dalam ayam boleh dijadikan faktor untuk mencari alternatif lain untuk penghasilan daging yang mempunyai sumber protein. Arnab boleh memenuhi keperluan itu. Potensi dari industri arnab termasuk:
- mengukuhkan keselamatan makanan,
- meningkatkan pendapatan pengusaha,
- menyediakan peluang pekerjaan
- menghasilkan daging sihat yang berkualiti tinggi, dan
- membangunkan ekonomi luar Bandar.
Masyarakat kini juga semakin menerima kehadiran arnab sebagai salah satu alternatif untuk haiwan kesayangan. Sifatnya yang unik dan comel serta terdapat di dalam pelbagai variasi menjadikan arnab kian popular sebagai haiwan kesayangan. Industri arnab juga dilihat mampu bersaing di dalam dunia haiwan hiasan ini. Peningkatan jumlah penternak dan pembiak arnab hiasan mendorong semakin banyak pertandingan arnab hiasan diadakan. Hal ini sedikit sebanyak membantu merancakkan lagi industri arnab di Malaysia.
Kini keadaan menunjukkan bahawa objektif penternakan arnab di beberapa negara Asia, walaupun pada skala mikro telah mula beralih ke arah tujuan komersil seperti yang berlaku di Indonesia dan Vietnam. Malaysia juga perlu mengambil peluang ini dan mula bergerak dengan lebih efisyen. Aktiviti pembangunan baru seperti keusahawanan dalam industri arnab ini bakal memberikan impak yang besar sekali gus mampu membawa perubahan terhadap aspek sosioekonomi dan fizikal komuniti tempatan.
No comments:
Post a Comment